Selasa, 28 September 2010

Betapa sayang, cinta dan kasihnya baginda terhadap kita tapi kita

Airmata mengalir deras. Tah mengapa belum sempat ku menulis, air hangat ini laju saja mengalir, umpama hujan lebat yang menitis ke bumi. "Ya Allah, terasa rindu benar untuk menangis seperti ini..kali ini bukan kerana rindukan Mu tapi kerana rindukan Rasulullah.."

Aku dan yang lain diminta menulis surat kepada Rasulullah saw. Seumpama baginda masih hidup, ceritalah apa saja yang aku mahu, buatlah ayat yang bagaimanapun untuk dibaca oleh insan yang sangat mulia ini. Lalu rasa malu begitu hebat sekali, namun aku tetap ingin meneruskan menulis surat ini. Tah kenapa terasa terketar-ketar jariku..aku ingin menulis dengan cantik, tapi ia jadi tulisan seorang doktor juga...

Masa yang diberi terlalu singkat, sepertinya aku ingin terus menulis lagi. Terlalu banyak yang ingin aku ceritakan pada Rasulullah, terlalu dalam perasaan cinta ini kepada baginda. Aku tulis sehelai penuh depan dan belakang. Lalu ku baca dalam hati. Ah malunya. Layakkah surat ini dibaca oleh insan mulia sepertinya?

Sebelum itu kami ditayangkan dengan tayangan kisah dakwah Rasulullah saw. Walaupun cuma lakonan, tapi cukup meninggalkan kesan. Benarlah, kita ini sudah terlalu jauh berenak-enak di sini, hilang rasa menghargai akan perjuangan Rasulullah. Program kita acapkali gembira dan manis, tapi program baginda penuh dengan penyeksaan dan syahid, berkorban demi membela dan menegakkan agama tercinta ini.

Apakah yang hendak aku nyatakan pada Rasulullah? Nak cerita jasa yang ada amatlah jauh sekali. Nak cerita kesusahanpun sama, banyak yang senang dari yang susah. Nak cerita amal ibadah lagilah jauh...

Aku cuba untuk menghabisi kudrat yang ada dengan terus berjuang di jalanmu. Inilah jalan yang penuh dugaan, onak duri dan kepayahan, walaupun ia tidak sehebat jalan yang pernah Rasulullah hadapi...

Hadis Riwayat Imam Tarmizi, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain dari Ibnu Abbas r.a : Telah Berkata Abu bakar
" Wahai Rasulallah kamu telah beruban! Nabi Menjawab:" Surah Hud, Al-Waqeah, Al-Mursalat, Amma yatasaalun, Izas Syamsu kuwwirat telah menjadikan rambutku beruban".


Dalam Hadis yang lain Ibnu Abbas r.a menyebut dalam menafsirkan ayat 112 surah Hud, bahawa tidak pernah diturunkan ayat kepada Rasulullah seberat ayat 112 ini, oleh itu Nabi bersabda Surah Hud ...telah menjadikan rambutku beruban.

Ayat 112 surah Hud yang Mafhumnya :
"Beristiqamahlah kamu sepertimana yang diperintahkan, begitu juga sesiapa yang bersamamu yang telah bertaubat (berada dijalan benar, hendaklah mereka beristiqamah juga seperti kamu) dan janganlah kamu melampaui batas-batas (yang telah diperuntukkan) Sesungguhnya Dia maha melihat apa saja yang dilakukan kamu".


Antara sebab-sebab lain yang menjadikan Nabi s.a.w begitu gerun berhadapan dgn surah-surah tersebut :

1. Gambaran hari kiamat yang sangat dahsyat dan jelas diperlihatkan di dalamnya seolah-olah beliau melihat dengan matanya sendiri.

2. Sangat bimbang tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya seperti yang diminta oleh Allah swt.

3. Cerita-cerita nabi terdahulu yang banyak dipaparkan di dalam surah Hud begitu sadis dan mencabar dalam melaksanakan risalah Allah swt. apakah beliau mampu mengikuti jejak-jejak mereka?

4. Teguran-teguran lansung dari langit kepada tindak tanduk beliau dalam menyampaikan risalahnya menyebabkan beliau sering bermuhasabah dan bimbang teralpa dengan tugas-tugasnya.

5. Bimbangkan umatnya tergelincir dari landasan yang benar, dan gagal merasai dahsyatnya hari kiamat yang akan menyebabkan mereka berlengah-lengah dari bertaubat dan kembali ke jalan Allah.


Betapa sayang, cinta dan kasihnya baginda terhadap kita tapi kita?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar